Sabtu, 18 Julai 2009

PERAWATAN DALAM ISLAM

Di dalam ketamadunan Islam dan sejarah perkembangannya, bidang teknologi perubatan telah lama dipraktik dan diamalkan oleh masyarakat terdahulu. Seorang tokoh perubatan Islam terkenal, Abu Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu Sina) menyatakan bahawa “Tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan juga untuk mengembalikan kesihatan ketika hilang”.

Perubatan merangkumi 2 perspektif utama iaitu:
1.Perubatan Rawatan,

2.Perubatan Kawal-Cegah.

Sebagaimana Islam memberi keutamaan kepada aqidah, ia juga memberikan perhatian kepada bidang perubatan samada Perubatan Rawatan atau Perubatan Kawal-Cegah, sekali pun perhatiannya terhadap Kawal-Cegah itu lebih banyak.Sesungguhnya satu dirham untuk kawalan pencegahan dan berpantang itu lebih baik daripada wang yang bertimbun-timbun untuk berubat.

Islam mewajibkan setiap manusia memberikan hak yang sewajarnya kepada tubuh badannya. Diantaranya ialah merawatinya ketika ia sakit. Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam beberapa hadisnya memerintahkan supaya orang yang sakit mendapatkan rawatan dengan berubat untuk menyembuhkan penyakitnya. Sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w.“ Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan untuk kamu bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Oleh kerana itu, berubatlah tetapi jangan berubat dengan yang haram” . Nabi s.a.w. sendiri berubat untuk dirinya dan menyuruh keluarga dan sahabatnya yang dihinggapi penyakit supaya berubat.

Apabila penyakit itu bertemu ubatnya maka sembuhlah ia. Itulah yang disebut sebagai keserasian. Namun dalam proses mencari ubat, manusia sering menemui jalan buntu apabila usaha-usaha yang dilakukan itu tidak berjaya. Sering kita dengar bahawa seseorang itu kadang-kadang dijangka tidak mempunyai harapan untuk terus hidup. Jika ia hidup usianya mungkin dalam jangka 6 bulan atau setahun. Jangkaan seumpama itu biar pun pada lazimnya atau pengalaman, kajian saintifik atau sebagainya tidak seharusnya dijadikan satu hukuman untuk tidak memberikan harapan hidup biar pun jangkaan ini benar-benar terjadi. Hanya Allah s.w.t. yang menentukan ajal maut seseorang. Walaupun doktor menjangkakan umur pada tarikh-tarikh tertentu, namun selagi jangkaan tarikh tersebut tidak menepati ketentuan Allah s.w.t. orang berkenaan tetap hidup.

Dalam kaedah perawatan Islam, unsur yang dapat menyembuhkan bukanlah ramuan ubat semata-mata tetapi juga unsur harapan kepada Allah s.w.t. yang tidak akan mensia-siakan orang yang bergantung kepadaNya. Setiap kali putusnya harapan dan cita-cita, maka sulit lagilah pesakit itu akan sembuh. Sesungguhnya rawatan yang hakiki mestilah merangkumi jasmani dan rohani sekali gus. Dengan pendekatan ini ramai para tabib atau doktor telah membuktikan mereka mampu merawat pesakit mereka dengan lebih sempurna dan sewajarnya. Akhirnya mereka telah menghasilkan keputusan yang cemerlang.

Maka selepas beberapa penyiasatan dan renungan yang mendalam, mereka telah membina satu falsafah baru mengenai rawatan ini diatas asas berikut:

1.Pengetahuan dalam bidang ilmu perubatan.

2.Pegangan dan kepercayaan kepada Allah s.w.t.

Manakala rawatan secara fizikal adalah menggunakan ubat-ubatan dan memanafaatkan pengetahuan dalam bidang ilmu perubatan. Rawatan jenis ini adalah diakui oleh Islam bahkan ada diantaranya disebut dalam Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w..

Kesimpulannya, mendapatkan rawatan adalah dituntut oleh Islam sebagai satu langkah untuk memelihara dan menjaga nikmat kesihatan dan keselamatan tubuh badan. Dalam hal ini Islam melalui petunjuk Rasulullah s.a.w. bukan sekadar memberi galakan kepada orang sakit supaya mendapat rawatan, tetapi juga telah mengemukakan satu pendekatan terbaik untuk merawat penyakit iaitu pendekatan bersepadu yang menggabungkan usaha secara jasmani dan rohani. Islam juga terlalu menitik beratkan akan menjaga kebersihan kerana ia adalah tabiat pencegahan terbaik dalam menjaga kedua-duanya. Didalam kontek ketahanan atau penyebaran dakwah Islam juga ditegaskan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim iaitu “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik daripada mukmin yang lemah, tetapi kedua-duanya adalah baik”.

Prinsip-prinsip perawatan Islam
1.Prinsip Keyakinan - bahawa yang menyembuhkan adalah Allah S.W.T. Dalam merawat pesakit harus dilakukan secara ikhsan dan sesuai dengan syariat Islam.
2.Halal lagi Toyyib - tidak sekali-kali menggunakan ubatan yang haram atau bercampur dengan bahan yang haram.
3.Selamat - pengubatan yang tidak membawa mudharat, mencacatkan tubuh, kecuali jika keadaan sangat dharurat dan tiada pengubatan lain pada saat itu.
4.Tidak berdasarkan tahayul, kurafat dan bidaah.
5.Prinsip mencari yang lebih baik - berdasarkan kaedah Islam dan ilmu perubatan.
6.Mengambil sebab melalui ikhtiar serta tawakal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan